tab


Sunday, August 29, 2010

Salahkah Bukan Islam Memasuki Masjid?

Assalamualaikum semua.
Beberapa hari ini kecoh mengenai isu orang bukan Islam masuk ke masjid. Sebagai orang awam,kita semua tertanya-tanya boleh ke tidak mereka memasuki masjid sebab kita tahu masjid adalah rumah Allah dan seterusnya tempat ibadat orang Islam. Jadi bagi merungkai persoalan ini mari kita lihat beberapa fakta menarik bagi menjawab persoalan ini.


1.Empat pandangan mazhab

Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid. Keduanya: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan Masjidil Haram dan kawasan tanah haram Makkah.

Ketiganya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki Masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah.

Keempat: Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.


Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah SAW juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan Nabi menyebut kepada sahabat: "Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)."

Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.


2.Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

Amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.

Macam mana sekarang? Boleh ke tidak??? Tepuk dada,tanyalah iman masing-masing.Atas tujuan apa kita menjemput kawan-kawan bukan Islam memasuki masjid/surau.Tetapi jangan sampai perbuatan kita boleh menjauhkan lagi kawan-kawan kita yang belum menerima hidayah Allah dari da'wah Islam. Islam itu indah sebenarnya. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment