Amah oh Amah
(Mendera atau didera)
Kisah Pembantu Rumah menjadi isu yang belum berkesudahan didada-dada akhbar. Jika bukan kisah Pembantu rumah didera, maka kisah pembantu rumah mendera anak majikan pula didedahkan.
Pelbagai kisah dan karenah pembantu rumah kita dengar, begitu juga halnya dengan majikan warganegara Malaysia yang tidak kurang dasyatnya dalam hal dera mendera ini hingga ada yang meninggal dunia. Apa jua soalnya, saya melihat ini adalah masalah sikap dan perangai sebilangan kecil pembantu rumah dan majikan.
Kerana karenah mereka Pembantu Rumah dan Majikan lain jadi mangsa. Maka wajiblah kita bijak dalam menghadapi isu ini dan memahami bahawa bukan semua pembantu rumah itu jahat, dan bukan semua majikan itu zalim.
Berita 1 : Pembantu rumah Indonesia didera meninggal dunia
KLANG: Pembantu rumah warga Indonesia, yang ditemui separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka hampir seluruh badan, dipercayai didera oleh majikannya di dalam tandas sebuah rumah di Taman Sentosa di sini meninggal dunia hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Mantik Hani, 36, menghembuskan nafas terakhir kirakira pukul 10 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, sejak dimasukkan ke hospital itu Selasa lepas.
Pengarah HTAR, Dr Ghazali Hasni Md Hassan, berkata mangsa meninggal dunia selepas didapati tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberikan sepasukan doktor pakar.
“Mangsa sepatutnya menjalani pembedahan tetapi ia tidak dapat diteruskan disebabkan keadaannya tidak mengizinkan,” kata beliau ketika ditemui pemberita di HTAR di sini.
Dua pegawai wanita yang mewakili pejabat Kedutaan Indonesia di Malaysia turut berada di HTAR untuk melawat mangsa tetapi membatalkan rancangan itu selepas dimaklumkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.
Pembantu rumah terbabit pada 20 Okt lepas ditemui dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dipercayai didera, dikurung dalam tandas, kepala dicukur hampir botak dan tidak diberi makan beberapa hari oleh majikannya.
Polis menyelamatkan pembantu rumah itu pada pukul 7 petang hari sama selepas menerima laporan mengenai penderaan itu daripada seorang tukang sapu yang bertugas membersihkan kediaman rumah suspek, dan terus menghantar wanita berkenaan ke HTAR untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Susulan itu, polis menahan reman majikan pembantu rumah itu, yang bekerja sebagai peniaga pasar dan isterinya untuk membantu siasatan.
Lelaki itu menyerah diri kepada polis sehari selepas pembantu rumah itu ditemui dan direman sehingga 28 Okt manakala isterinya direman sehingga esok.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata dua suspek itu disiasat kini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya masih mencari saksi untuk membantu siasatan termasuk ibu majikan dan bekas majikan pembantu rumah itu.
“Jenazah mangsa akan dilakukan bedah siasat di HTAR bagi menentukan punca kematiannya,” katanya. BERNAMA
Berita 2 : Amah warga Indonesia dera anak majikan diburu polis
PETALING JAYA: Polis masih memburu seorang pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri selepas mendera anak majikannya berusia enam dan satu setengah tahun selain turut mencuri komputer riba dan wang tunai RM200 milik majikannya di Desa Subang Permai, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata pembantu rumah yang dikenali sebagai Susanti Lutfiyah, 27, berasal dari Malang, Jawa Barat masih belum ditemui dan sehingga kini, polis masih menjalankan gerakan mencarinya.
Beliau berkata, dua anak perempuan pasangan yang bekerja di sektor awam itu sudah mendapat rawatan di hospital, tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan laporan menunjukkan mereka didera berpandukan kepada kesan lebam pada badan kanak-kanak itu.
“Siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa juga tidak tahu sejak bila anaknya didera kerana anak ketiga dan keempat pasangan itu tidak pernah memaklumkan kepada mereka mengenai tindakan pembantu rumah berkenaan yang bekerja di rumah mereka sejak dua tahun lalu.
“Polis masih menjalankan siasatan berhubung cara mangsa didera dan kami mendapati berdasarkan lebam kecil pada badan anak mereka, suspek tidak menggunakan senjata berbahaya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Arjunaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan meminta jasa baik orang ramai mengesan suspek yang masuk secara sah dan dipercayai masih berada di Malaysia.
No comments:
Post a Comment