tab


Wednesday, July 15, 2009

ISRA' DAN MIKRAJ

ISRA' DAN MIKRAJ


Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S.W.T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah Al-Israa’: Ayat 1).

Di kalangan ulama berpendapat, tujuan Isra’ Mi’raj adalah lit-tatsbit (untuk memantapkan atau mengukuhkan Nabi SAW dalam kedudukan kenabian dan kerasulannya), lit-takrim (untuk memuliakan Nabi SAW sebagai makhluk pilihan Allah SWT), dan listi’dalil quwah (untuk mempersiapkan kekuatan jasmaniah, rohaniah, dan aqliah Nabi SAW dalam menjalankan tugas-tugas kenabian dan kerasulannya).


Hikmah peristiwa Isra' Mi'raj

Pertama, diriwayatkan, sebelum Isra Mi’raj, Nabi SAW “dibedah” oleh malaikat untuk membersihkan jiwanya dari sifat-sifat buruk. Itu menunjukkan, sebelum menghadap Allah SWT untuk menjalankan ibadah, kita harus membersihkan dulu jiwa-raga kita, niat-hati dan jasmani, dari segala kotoran atau najis, dari niat yang tidak ikhlas, dan dari pemahaman-pemahaman yang sesat. Ibadah akan mardud atau tidak sah bila niat kita tidak ikhlas, dinodai bid’ah atau Kebersihan jiwa-raga adalah suatu keharusan manakala kita menghadap Allah SWT di akhir kelak. Kerana Islam itu bersih, maka bersihkanlah jiwa-ragamu.

Kedua, ketika Abu Thalib dan Siti Khadijah meninggal dunia, Nabi SAW merasa sangat sedih , sehingga tahun itu dinamakan Amul Hazn (Tahun Kesedihan). Itu menunjukkan, dalam berdakwah orang perlu pelindung, pendukung, atau pemacu semangat. Seorang daie perlu teman pendamping. Siti Khadijah merupakan simbol seorang isteri atau wanita yang mendokong perjuangan suami dalam berdakwah.

Ketiga, dalam QS. 17: 1 Allah SWT menyatakan, Isra’ Mi’raj bertujuan antara lain untuk memperlihatkan sebagian ayat atau tanda (bukti) kekuasaan-Nya. Kita pun harus memperhatikan ayatNya sehingga keimanan akan kekuasaan Allah SWT tertanam kuat dalam diri. Ayat-ayat itu meliputi ayat qauliyah (firman Allah yang terhimpun dalam Alquran) dan ayat kauniyah (segala ciptaan Allah SWT).

Keempat, salah satu tempat yang terkait dengan Isra’ Mi’raj adalah Masjid Aqsha. Setidaknya, momentum peringatan Isra’ Mi’raj kali ini dapat dijadikan momentum bangkitnya keperihatinan terhadap nasib Al-Aqsha dan Muslim Palestin. Kaum Zionis hendak meruntuhkan masjid tersebut dan melenyapkan simbol-simbol Islam di Jerusalem.

Saturday, July 11, 2009

Surat Tok Guru Kpd PM

(S)16/7/(21) 9 Rejab 1430 / 2 Julai 2009

Yang Amat Berhormat,

Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Jabatan Perdana Menteri
Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 PUTRAJAYA

Assalamualaikum WM WB.

Semoga YAB Dato’ Seri sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan beroleh petunjuk yang berpanjangan dari Allah SWT dalam memimpin Negara.

YAB Dato Seri,

Cadangan Mengadakan Debat Ilmiah Isu UMNO Parti Menolak Islam

Dengan segala hormatnya, dimaklumkan bahawa saya ada menerima khabar tentang laporan polis yang dibuat oleh anak buah di Kelantan Dato’ Seri berhubung dengan perkara di atas. Pada dasarnya, saya lebih banyak berlapang dada.

Mengikut laporan, kononnya saya telah menghasut dengan mengatakan bahawa UMNO sebuah parti yang sesat. Di sini, izinkan saya tegaskan sekali lagi bahawa “mana-mana faham yang menolak Islam (termasuk UMNO) – sememangnya kita panggil ajaran sesat.” (lihat Utusan Malaysia muka surat 6, 27 Jun 2009).

Sebagai penjelasan, mari kita mulakan begini. Pertama, dunia ini bukan dibuat oleh manusia atau terjadi sendiri. Ia ada penciptanya dan tuannya yakni Allah. Oleh sebab itulah kita tidak boleh buat pandai-pandai, melebihi dari apa yang menjadi kehendak “Tuan Punya” yang menjadi tuan rumah kepada seluruh alam ini.

Kedua, Al-Quran menetapkan bahawa manusia, tanpa mengira bangsa , bahasa dan keturunan adalah menjadi khalifah-Nya. Kepada manusia pertama iaitu Adam ‘alaihissalam, Allah SWT telah menetapkan bahawa sebarang perbalahan yang berlaku di antara anak buah kamu (lihat sebahagian surah al-Baqarah Ayat 36) akan menjadi reda dan tenang (lihat pula sebahagian Surah al-Baqarah Ayat 38) sekiranya kamu menuruti hidayah-Ku. Atau, maksud kedua-dua perkara ini ada dirangkumkan dengan penuh di dalam surah Thoha yang bermaksud, “Allah berfirman: turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka, jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, lalu barangsiapa yang mengikuti petunjuk dari-Ku, ia tidak akan sesat dan celaka.” (Lihat surah Thoha Ayat 123). Ini adalah benda yang menjadi tugas utama yang amat penting para Nabi sejak daripada zaman berzaman termasuk Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW mewajibkan kita membaca Fatihah dalam sembahyang. Di dalam Fatihah, telah ditetapkan tiga perkara pokok. Satu laluan yang betul dan dua yang salah. Ayat “sirothollazina an‘amta ‘alaihim” yang menuntut jalan yang lurus adalah betul manakala ayat “ghoiril maghdhubi ‘alaihim waladdhol liin” adalah yang salah seperti yang di maksudkan. Aneh, bahkan silapnya Umno ialah Umno tolak yang betul iaitu “sirothollazina an‘amta” yang menjadi jalan Nabi-Nabi iaitu menolak Islam dan mengambil sistem sekular barat yang tidak pasal-pasal menimbulkan pecah-belah teruk di kalangan seluruh orang Melayu dan orang Islam bukan Melayu di Malaysia. Ini termasuk jugalah perpecahan antara orang Islam dan Non–Islam di negara kita.

Lebih buruk apabila semuanya ini menjadikan orang-orang yang belum Islam terkapai-kapai; yang mana yang sebenar sama ada Islam atau sekular. Hasil daripada inilah saya rasa sudah sampai masanya untuk mengajak Presiden Umno yang menjadi Perdana Menteri sekarang ini bersemuka dengan saya di atas dasar “wajadilhum billati hiya ahsan” yang bermaksud, “serulah manusia pada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik" (sebahagian dari maksud surah an-Nahl Ayat 125).

Persoalan yang ada di hadapan kita sekarang ialah kenapa Umno tolak Islam sedangkan Islam adalah jalan yang bersifat “siro thol mustaqiim”? Bahkan, sikap Umno melawan PAS sedangkan PAS yang ditubuhkan sejak 1951 meletakkan Islam sebagai dasar adalah sebuah kekeliruan yang cukup dahsyat. Pegangan Umno yang menolak jalan yang lurus inilah yang saya ertikan sebagai boleh membawa kepada perpecahan dan kesesatan.

Menyamakan atau membandingkan ajaran Ayah Pin atau komunis dengan UMNO yang menolak Islam adalah sekadar mematuhi kaedah al-balaaghah. Ini penggunaan perumpamaan atau kiasan semata-mata. Jauh dari segi maudhu’, ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana aliran asal sekularisme yang menolak agama khususnya Islam dari pemerintahan. Ini punca sebenar atau ibu kepada segala kesesatan. Apabila sekularisme itu adalah faham yang sesat, maka tidakkah faham kebangsaan yang merupakan cabang dari ajaran sekular bawaan Parti Kebangsaaan Melayu Bersatu (UMNO) itu juga turut sesat?

Seperti yang kita sedia maklum, perdebatan diterima oleh Islam dan diterima oleh demokrasi. Ia perkara fitrah dan perkara sedunia. Contoh terdekat ialah perdebatan antara Obama dengan saingan beliau dari parti Republikan. Begitu juga dengan debat antara calun-calun Presiden Indonesia terkini yang sedang berlangsung di Jakarta yakni antara regu Susilo Bambang Yudhono/Boediono, Megawati Soekarnoputri/Prabowo Subianto dan Jusuf Kalla/Wiranto.

Jika di Eropah dan negara negara demokrasi yang lain, debat lebih ditumpukan kepada perkara-perkara cabang yang bersifat keduniaan semata-mata maka apa salahnya jika kali ini kita perbahaskan perkara pokok yang menyentuh aqidah? Masalah yang saya bawa ini adalah perkara aqidah yakni persoalan tunjang yang menyentuh kedua-dua kepentingan secara bersekali, dunia dan akhirat.Jika tidak betul aqidah, sembahyang pun tidak diterima. Dunia demokrasi yang sekular; mana ada pedulikan masalah aqidah dan persoalan “sesat tak sesat”? Soal sesat atau tidak, ini istilah ugama. Ini bukan isu perlembagaan dan undang-undang.

Sesat seperti yang terdapat di hujung surah al-Fatihah (adho- Lliin) bererti dholalah yakni tidak bertemu atau berjumpa jalan. Kita perlu sama-sama sedar bahawa jalan yang boleh diharap hanyalah jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini persoalan “huda llil muttaqiin” yakni jalan yang menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (lihat sebahagian maksud al-Baqarah Ayat 2).Tak turut jalan inilah apa yang dipanggil sesat.

Tidak timbul sama sekali soal menghasut atau mencetuskan keresahan. Ini isu ugama sepenuhnya. Ini persoalan teguran dan dakwah.

Demi mencari kejernihan dan menghentikan polemik, saya mohon mencadangkan sebuah debat ilmiyyah dianjurkan dalam tempoh terdekat kearah menjelas dan merungkai segala kemusykilan dari kedua-dua perspektif parti bertajuk “kerana apa Umno tolak Islam dan kerana apa Umno lawan PAS”; tidak lebih daripada itu. Insya Allah, saya bersedia untuk bersama Dato’ Seri Perdana Menteri dalam majlis berkenaan tanpa meletakkan sebarang syarat. Lantiklah mana-mana mufti atau salah seorang sarjana yang faqih lagi amanah, baik dari dalam mahupun luar negara untuk menjadi pemudah cara yang adil bagi tujuan ini. Tempat yang sesuai boleh ditetapkan oleh pihak Dato’ Seri, baik di Kuala Lumpur atau di mana-mana. Hari dan masa juga adalah mengikut kelapangan dan keselesaan YAB. Saya boleh mematuhi kepada apa jua ketetapan asalkan Dato’ Seri bersedia untuk bersama dalam sebuah rapat ilmiyyah untuk dibuat siaran langsung demi manfaat Negara.

Seluruh rakyat akan menjadi hakim di atas pelbagai sandaran yang saya maksudkan ketika mengatakan apa yang telah saya sebut mengenai fenomena UMNO dengan persoalan kesesatan ini.

Jadi, sekali lagi saya dengan ikhlas mengangkat cadangan ini agar sudilah apa kiranya YAB. Dato Seri menerima pelawaan ini mengikut kesesuaian tarikh Dato' Seri demi kebaikan bersama. Semoga diizinkan Allah. Terima kasih, Wassalam.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat


(Surat yang diutuskan Nabi Muhammad SAW kepada Raja Habsyah, Raja Nijashi)

AMALAN MEMUDAHKAN BERSALIN

AMALAN MEMUDAHKAN BERSALIN

Surah An-Nahl: ayat 78-80


[78] Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

Khasiat Surah An-Nahl, ayat 78: Untuk memudahkan wanita hamil bersalin/beranak/ melahirkan anak, insya-Allah.

"Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya. "

"Berilah makanan kurma pada wanita yang hamil sebelum dia melahirkan, sebab yang demikian itu akan menyebabkan anaknya menjadi seorang yang tabah dan bertaqwa (bersih hatinya)".

Kebaikan Kurma Ketika Mengandung dan Bersalin

Adalah amat baik sekali jika mengamalkan memakan buah kurma semasa mengandung kerana ini akan memudahkan bersalin nanti.

Semasa bayi dilahirkan, buah kurma juga dicalitkan sedikit di lelangit bayi.

Ingat tak kisah dimana Maryam hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS.

PAKEJ UMRAH DAN MELANCONG BERSAMA NISA'

Alhamdulillah Nisa' Perak telah menjadi AGEN DARUL MUBARAK TRAVEL & TOURS SDN. BHD bagi mengisi Tabung kewangan Nisa' Perak. Potongan Harga akan diberikan kepada Ahli2 Nisa'. Jika Anda Berminat, sila emailkan kepada nisaperak@gmail.com atau hubungi saya, Mazleen Musa (Pegawai Kewangan Nisa' 0195934892) untuk maklumat lanjut.


Maksud firman Allah SWT:

"Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): Berjalanlah kamu di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan makhluk dari permulaannya..."

Surah al-Ankabut: ayat 20

Friday, July 10, 2009

PERGINYA NATRAH PADA TANGGAL 9 JULAI 2009

NAtrah atau Nadra Maarof adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950.
  • 24 Mac 1937 Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
  • Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
  • Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
  • 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
  • 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
  • September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
  • 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
  • 12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
  • 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
  • 24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
  • 28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
  • 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .
  • 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
  • 1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.
  • 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
  • Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
  • 12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.
  • 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
  • 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.

Sejarah Natrah boleh dibaca di mana-mana. Ada buku yang ditulis mengenainya. Ada artikel yang komprehensif di Wikipedia. Begitu juga dokumentari di Youtube dan di mana-mana. Bacalah, hayatilah, insafilah akan lipatan sejarah tragis negara kita di suatu masa itu.

Tetapi ada satu pengajaran besar yang jangan kita terlepas pandang mengenai tragedi Natrah.

riot

Rusuhan 1950 di Singapura

1950 menyaksikan 18 orang terbunuh syahid dan 173 orang cedera. Singapura dikenakan perintah berkurung selama dua hari. Singapura terbakar, sebagaimana terbakarnya jiwa umat Islam Nusantara yang bangkit menentang usaha melari dan memurtadkan Natrah.

Itulah harga Islam di mata umat Islam tahun 1950.

Tanpa internet, tanpa sms, semangat itu merebak dengan cepat dan menular merentas kota dan desa, harga iman Natrah bukan sebarangan.

Biar pun umat Islam masih dijajah British, jiwa mereka merdeka untuk bangkit bersuara.

Di tahun 2009, tatkala Natrah kembali kepada Allah yang difasakhkan aqidah beliau dari-Nya itu, berita murtad bukan lagi berita yang menggemparkan. Usahkan mahu memandang dengan sebelah mata, kewajaran murtad pula mahu dipertahankan atas nama kebebasan beragama yang entah di mana asal usulnya.

Ketika umat Islam terbebas daripada penjajah British dan menjadi pemerintah di bumi sendiri, jiwa mereka yang pernah merdeka itu hakikatnya kembali terjajah terpenjara hingga tiada lagi

Thursday, July 9, 2009

Pimpinan Nisa' Perak 2009 - 2011

Pimpinan Nisa' Perak 2009 - 2011


Assalamualaikum w.b.t. Nisa' Perak menyepi seketika, kerana memberi laluan kepada pemilihan Pimpinan Nisa' 2009 - 2011 sama ada peringkat Pusat dan peringkat Negeri. . Tahniah dan Takziah diucapkan kepada Jawatankuasa yang dipilih. Diperingkat Pusat, berlaku perubahan kepada pucuk pimpinan. Kini Pengarah Nisa' Malaysia ialah Dr. Rosni, Kak Mas beralih arah ke Lajnah Antarabangsa. Tahniah kerana melangkah setapak lagi. Terima kasih diatas sumbangan , pengorbanan dan idea yang diberikan di atas setiap program yang dilaksanakan oleh nisa' selama ini. Jasamu dikenang Kak Mas. Organisasi Nisa' Perak terbentuk secara rasminya pada mesyuarat kali pertama pada 5 Julai 2009.Masih mengekalkan Pengarah Nisa' yang sama (3 penggal) , Pn. Haliza Hamidon. Selamat Menjalankan Amanah dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan serta komitmen yang tidak berbelah bagi. Sesungguhnya amanah dan tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul. Insyallah mudah-mudahan Allah permudahkan setiap usaha murni yang kita lakukan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bersama-sama kita melaksanakan Amal Maaruf , Nahi Mungkar di bumi Perak ini. Takbir 3x.. Insyallah.
CANTIKNYA SEORANG WANITA ITU

Cantiknya seorang wanita itu sebagai GADIS
Bukan kerana merah kilauan lipstik
Pada bibir memekar senyuman kosmetik
Tetapi pada keperibadian terpelihara
Kelembutan kesopanan menghiasi jiwa


Cantiknya seorang wanita itu sebagai REMAJA
Tidak pada kulitnya mulus menggebu terdedah
Untuk menggoda pandangan nafsu mata
Tetapi pada kehidupan terjaga Dari menjadi mangsa tohmahan dunia


Cantiknya seorang wanita itu sebagai HAWA
Tidak kerana bijak meruntun iman kaum Adam
Sehingga turunkan insan ke dunia
Tetapi menjdi pembakar semangat perwira
Menjadi tunjang perjuangan syuhada


Cantiknya seorang wanita itu sebagai ANAK
Tidak menjerat diri pada lembah kedurhakaan
Mengalir mutiara di kelopak mata
Tetapi menjadi penyelamat ibu bapa
Pada hari kebangkitan bermula


Cantiknya seorang wanita itu sebagai ISTERI
Bukan kerana peneraju kerjaya dalam rumahtangga
Tetapi sentiasa bersama
Menempuh badai disisi suami tercinta


Cantiknya seorang wanita itu sebagai IBU
Bukan terletak pada kebangkitan anak
Dalam setiap pertelingkahanTetapi dibawah lembayung kejayaan
Membuai anak dikala suami menjalin impian


Cantiknya seorang wanita itu sebagai WARGANEGARA
Bukan kerana menyandang puncak dunia
Tetapi bijak menangkis rintangan
Peka membela nasib dan maruah negara
Menjadi tulang belakang keteguhan semua



Cantiknya wanita itu sebagai INTELEKTUALIS
Bukan kerana menjadi sebutan
Sehingga menjulang keegoaanTetapi dalam mencari ilmuan
Menyala obor mewangi setanggi profesionalis


Cantiknya wanita itu sebagai MUSLIMAH
Bukan kerana keindahan paras rupa
Sehingga menjadi ingauan mata

Tetapi berpegang Akidah Solehah
Disebalik tirai jiwa
Mengandam rindu kekasih pasrah di atas sejadah
Mengharap keredhaan kehidupan awana